Monday, July 6, 2009

Lim Jooi Soon Selesa Guna Nama Asal

Oleh: MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK

Lim Jooi Soon

MENUKAR nama bapa kepada Abdullah sudah lama diamalkan di Malaysia. Namun, ia tidak pernah diamalkan ketika zaman Rasullullah s.a.w. Contohnya Rasulullah tidak mengubah nama bapa Abdullah bin Abd. Asad biarpun Abd. Asad membawa makna hamba kepada singa, iaitu jelas mengandungi unsur-unsur syirik (Ibni Al-Jawzee, Sifatus Safwah, Jilid 1 (63).

Malah Umar Al-Khattab dan Ali bin Abu Talib juga mengekalkan nama bapa masing-masing setelah memeluk Islam. Jika wajib menukar nama bapa, apakah Rasullullah sendiri tidak mengetahuinya dan melakukannya?

Pegawai Dakwah Persatuan Cina Islam Malaysia (MACMA) Cawangan Selangor, Lim Jooi Soon berkata, ramai masyarakat di Malaysia beranggapan bahawa nama Islam adalah nama dalam bahasa Arab.

Pada zaman Rasullullah, mereka yang memeluk agama Islam dinasihati oleh Rasulullah supaya menukar nama asal kepada nama yang bermaksud baik.

Ini menunjukkan nama Islam adalah nama yang mempunyai makna yang baik, bukan semestinya dalam bahasa Arab.

Katanya, menjadi amalan bahawa orang yang masuk Islam di negara ini akan disuruh menukar nama kepada nama bahasa Arab dengan anggapan bahawa nama Islam adalah nama di dalam bahasa Arab.

Persoalannya, bagaimana dengan masyarakat Melayu yang tidak mempunyai nama dalam bahasa Arab, adakah mereka perlu menukar nama atau sebaliknya?

“Sebenarnya, pada zaman Rasullullah, ramai sahabat apabila masuk Islam mengekalkan nama asal mereka walaupun bukan di dalam bahasa Arab. Antaranya; Salman Al-Farisy dari Persia dan Bilal Ar-Rabah dari Ethopia, katanya ketika ditemui MEGA, baru-baru ini.

Pada masa yang sama, kata Jooi Soon, tiada nas untuk membenarkan penukaran nama bapa kandung kepada Abdullah atau nama-nama lain.

“Dalam kes ini saya bersetuju 100 peratus dengan fatwa Majlis Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan pertukaran nama bapa kandung.

“Sebagai seorang Islam, apabila kita ditunjukkan sesuatu nas atau bukti larangan atau perintah, kita hendaklah mematuhi arahan tersebut seperti mana dalam ayat 17 dan 18 dari surah al-Zumar, jelasnya.

Tambah Jooi Soon, bukanlah sesuatu yang menghairankan jika terdapat pihak-pihak yang masih mengekalkan pendapat dan tradisi walaupun dikemukakan dengan bukti yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Golongan begini disebut di dalam al-Quran, Sesungguhnya kami mendapati datuk nenek kami menurut satu agama, dan sesungguhnya kami beroleh petunjuk menurut jejak mereka sahaja dan demikianlah halnya (orang-orang yang taklid buta) kami tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) kepada sesebuah negeri, seseorang Rasul pemberi amaran, melainkan orang-orang yang berada dalam kemewahan di negeri itu berkata, sesungguhnya kami dapati datuk nenek kami menurut satu jalan agama, dan sesungguhnya kami hanya mengikut jejak mereka sahaja. Rasul itu berkata, adakah (kamu akan menurut juga mereka) walaupun aku membawa kepada kamu agama yang lebih nyata memberi petunjuk daripada apa yang kamu dapati datuk nenekmu menganutnya? Mereka menjawab: Sesungguhnya kami mengingkari agama yang kamu di utus untuk menyampaikannya. (al-Zukhruf: 22-24),

Kata Jooi Soon, sebagai Muslim berbangsa Cina, mengekalkan nama penuh dalam bahasa ibunda adalah perkara yang penting bagi sebahagian masyarakat Cina. Ini kerana setiap perkataan pada nama tersebut membawa maksud dan pengertian tertentu.

“Sebagai contoh, walaupun saya hampir sepuluh tahun memeluk agama Islam, saya masih mengekalkan nama Lim Jooi Soon kerana maksud di sebalik nama itu membawa pengertian yang indah dan terpuji dalam masyarakat dan budaya Cina serta tidak melanggar syariat.

“Lim adalah nama keluarga, Jooi adalah nama keturunan dan Soon adalah nama diri saya. Bayangkan apabila ada sebahagian daripada masyarakat Cina yang ingin memeluk agama Islam terpaksa membuang nama keturunan dan nama dirinya ini seolah-olah memutuskan pertalian dari nasab keturunan yang sama, tambahnya.

Menurut Jooi Soon, sebenarnya ramai masyarakat Cina membatalkan hasrat memeluk Islam kerana takut apabila diberitahu nama keturunan dan nama diri perlu dibuang selepas pengislaman.

“Dari segi dakwah pula, jika mereka mengekalkan nama dalam bahasa Cina, tanggapan masyarakat bukan Islam bahawa memeluk agama Islam itu bermakna ‘masuk’ Melayu dapat dihakis sekali gus menunjukkan Islam adalah agama universal, katanya .

Mengenai kesukaran mengenalpasti status mualaf Islam jika tidak dibinkan Abdullah, Jooi Soon berkata, hal itu tidak perlu dikhuatirkan.

“Perkara ini bukan masalah kerana penyelesaiannya terbukti pada status agama Islam yang tertera dalam kad pengenalan (MyKad) dan juga kad yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Persekutuan dan Negeri,” jelasnya.

Apa yang lebih penting katanya ialah pengamalan segala suruhan dan meninggalkan larangannya berbanding dari segi nama dan pakaian mereka. Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi di talian 012-3661121 atau e-mail abdlim@gmail.com

Fakta tentang menukar nama mualaf

Terdapat dua pendapat mengenai pertukaran nama kepada ‘bin’ Abdullah atau ‘binti’ Abdullah apabila seseorang memeluk agama Islam:

Pertama: Mengikut al-Quran dan sunah.

Kedua: Mengikut budaya Malaysia

Menukar nama kepada bin atau binti’ Abdullah bukan ajaran Islam tetapi ia lebih menitik kepada Budaya Malaysia. Ia tidak pernah diamalkan pada zaman Rasullullah s.a.w. Agama Islam boleh menerima apa jua amalan dan budaya mana-mana bangsa selagi ia tidak bercanggah dengan al-Quran dan sunah.

Nas menukar nama bapa itu tidak dibenarkan dalam Islam.

Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber’bin’kan kepada bapa-bapa mereka sendiri, cara itulah yang lebih adil di sisi Allah s.w.t. (Al-Ahzab: 5).

Sesiapa yang secara sedar mengubah nama bapanya kepada nama yang lain terkeluar dari syurga. (Riwayat Bukhari 8:578, Muslim 1:120 Daud 3:5094)

Sesiapa yang secara sengaja membiarkan dirinya dipanggil sebagai anak kepada yang bukan bapanya adalah kufur. (Riwayat Bukhari 4:467, Muslim 1;118, Daud 3:5095).

Beberapa pilihan mualaf berkaitan nama.

*Mengekalkan nama asal sepenuhnya (Lim Jooi Soon) kerana ia penting dan melambangkan dan mengekalkan nama generasi dan nama diri mereka.

*Meletakkan ‘bin’ di hujung nama – walaupun bukan budaya orang Cina tetapi jika ingin meletakkan ‘bin’ tidak menjadi masalah asalkan nama tersebut ber ‘bin’ kan bapa kandung dan bukan nama lain seperti Abdullah contohnya Lim Jooi Soon Bin Lim Hong Nam.

*Memilih nama Arab yang mempunyai makna yang baik sambil mengekalkan nama asal sepenuhnya (Abdul Rahman Lim Jooi Soon). Namun, ini bukan kemestian.

Berbeza dengan budaya orang India yang memang meletakkan ‘anak lelaki’ ataupun ‘bin’. Ia boleh dikekalkan dengan syarat ber‘bin’kan bapa kandung sendiri contohnya Shah Kirit Bin Kalkulai Govindji.

Hikmah di sebalik larangan menukar nama bapa.

*Untuk mengelakkan daripada berlakunya perkahwinan di antara ahli keluarga yang diharamkan berkahwin akibat tidak tahu tentang asal-usul keluarga.

*Untuk menunjukkan bahawa orang yang masuk Islam itu masih mengekalkan perhubungan anak dan bapa seperti biasa dan bahawa Islam itu tidak sekali-kali memutuskan pertalian di antara kaum keluarga.

Sumber: Utusan Malaysia 12 April 2007

15 comments:

  1. Yang lebih adalah AKIDAH cina/india islam ini terpelihara. KEnapa perlu melayu islam memandai-mandai dan menetapkan Abdullah kepada bapanya yang bukannya beragama islam. Baik atau buruk nama bapanya berserah kepada Allah swt kerana IA Maha Mengetahui dan Ia tetapkan pelbagai cara untuk memberi hidayah kepada umatNya. Lihatlah dan fahamilah nas-nas al-quran yang wajib kita jadikan pedoman. AKIDAH itulah yang paling utama kita pelihara agar tidak timbul soal murtad. Lihat contoh beberapa kes melayu islam yang murtad, apakah disebabkan namanya?! Tidak, nama islamnya cukup molek maksudnya tetapi tetap murtad, dididik dengan cara islam dari lahirnya tapi terpesong jugak, kenapa? Kerana hilangnya AKIDAH.

    ReplyDelete
  2. Hapuskanlah peggunaan mualaf atau saudara baru kerana Allah swt telah tetapkan tiada bezakan di antara umatNya kecuali amalannya. Gunalah islam selepas asal bangsanya. Seperti cina/india islam/muslim itu lebih baik dan jelas. Jika sudah 25 tahun beragama islam tidak patut digelar saudara baru atau mualaf lagi. Bangsa india wajar dibenarkan mengunakan A/L@A/P kerana itu adalah lambang jati diri mereka sejak turun temurun lagi dan tukar sekiranya mahu berbin/binti . Melayu islam boleh kata/ tetapkan itu ini tapi bukannya mereka tahu sebab mereka tidak berada di tempat kami.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum

    Saya berketurunan Melayu, bila membaca ulasan En.Chan, saya rasa ada benarnya saranan beliau, cuma pengubal undang-undang yang tidak peka dalam soal ini, tidak membuat kajian yang teliti dengan mengambil kira keadaan semua pihak

    Cuma saya ingin mengingatkan, sebenarnya di negara ini, ramai para ilmuan Islam dan para pendakwah Melayu ini sudah memperkatakan soal ini, baik soal nama dan soal status Mualaf, cuma pengubal dasar yang masih tidak mewartakan suatu perundangan yang saudara Chan inginkan, kalau dilihat pada Ustaz Ann Wan Seng,saya tidak nampak ada unsur nama "Melayu", ianya boleh diamalkan, sekurang-kurangnya sudah dibolehkan sekarang, begitulah pada pemerhatian saya sendiri

    Saya cuma harapkan, jangan menganggap semua "Melayu Islam" itu sama, cara penulisan anda sedikit bersifat melulu dan bercampur kemarahan, adalah tidak adil untuk kami sebenarnya, kami bukanlah langsung tidak memikirkan perkara seperti itu, perkara yang telah menjadi dasar akan mengambil masa untuk diubah dan diamalkan secara menyeluruh, harap saudara boleh bersabar dahulu

    Mohon maaf kalau ada yang tersingung dengan ulasan saya, cuma cuba bersifat berkecuali disini

    Selamat menyambut Ramadan Al Mubarak

    ReplyDelete
  4. Assalammualaikum.
    Sy setuju dgn Bro Salahuddin.
    Skrg ni dh rmai masyarakat Melayu yg sedar bahawa Islam tdk semestinya Melayu.

    Tdk adil pada masyarakat Melayu klo kita ckp semua Melayu pun bfikiran mcm tu.
    Mungkin skrg ni tugas Cina Muslim lebih berat, sbb kena buktikan pada Cina bkn Muslim yg lain bahawa Islam adalah satu agama, satu cara hidup, bkn nya bangsa. Masuk Islam x semestinya masuk Melayu.

    Mungkin lelaki cina muslim boleh pkai samfu dgn ketayap untuk sembahyang aidilfitri? Instead of pkai baju melayu dan sampin?
    Saya rasa "fesyen" itu akn buka mata ramai orang...
    =)

    ~Naib Setiausaha MACMA Selangor

    ReplyDelete
  5. sebenyarnya perkataan muallaf merupakan ungkapan yang amat dimuliakan oleh rasulullah s.a.w dan dr Allah sendiri. ini kerana antara lainnya maksud muallaf itu membawa maksud bersih seperti kain puth yang diletakkan pd orang yang bru memeluk agama Islam. tetapi disebabkan kelalaian masyarakat kita sendiri yang menganggap bahawa masuk Islam adlh masuk melayu tlh menyebabkan kurangnya prhatian orang bukan Islam terhadap Islam. sedarlah kita antara kelalaian yang dilakukan tidaklah semestinya dipihak lain, tap suluhla masyarakat kita sendiri yang semakin menghina agama tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap mereka. terutama sekali dri segi pelaksanaan syariah dan keterbukaan untuk berdakwah terutama sekali kepada kaum muda. assalamualaikum

    ReplyDelete
  6. im totali agree..y must change name? d important thg is d religion n hw we practise it..nama baik tapi perangai tak baik pun xguna juga..ramai rakan2 chinese sy bertanya kenapa perlu tukar nama? dan mereka masih keliru bahawa masuk islam=masuk melayu..bleh x pihak MACMA adakan satu program khas untuk jelaskan isu ni?

    ReplyDelete
  7. Sbnrnya dh byk dh cubaan dari pihak MACMA untuk jelaskan perkara ni.
    Byk juga pendakwah yg dh ketengahkan isu ni, Lim Jooi Soon contohnya.
    Isu ni memerlukan kerjasama banyak pihak terutama Melayu Muslim sbb ramai Melayu Muslim sndiri pun kadang2 terkeliru dgn Islam = Melayu ni.

    ReplyDelete
  8. Soal nama ini ialah soal identiti dan jatidiri. Sudah tentu saya tidak mahu nama saya sejak lahir ini di tukar kepada nama lain. Ia adalah identiti saya. Jika saya tidak mahu menukar nama, kenapa pula kita nak orang lain tukar nama? Jadi dari segi saikologinya, memang naluri mengatakan kekalkan nama yg ada itu.

    Kebiasaan di Malaysia ialah, orang melayu selalunya beragama Islam. Maka terpahat diminda bila sebut saja nama melayu (yg kebetulannya iras nama2 arab) maka otomotik agamanya Islam. Berlainan pula dgn bangsa cina dan india di anggap bukan beragama Islam secara amnya. Jadi apabila seorang cina atau india muslim yg mengekalkan nama asal, tanggapan secara normalnya ialah bukan beragama Islam. Itulah hakikatnya. Apabila mereka memakai nama arab (yg iras nama melayu tadi) maka first level bila orang mendengarnya maka secara nalurinya mereka beranggapan dia ini beragama Islam (atau muallaf). Ataupun mengekalkan nama keluarga (last name) dan ber bin/binti Abdullah. Identiti itu menjurus kpd dia ini beragama Islam.

    Having said that, saya faham ketidakselesaan untuk menukar identiti diri tadi. Justru mengekalkan nama asal bagi saya tidak ada masalah, cumanya tanggapan awam ialah dia itu bukan beragama Islam, sehinggalah di beritahu bahawa dia ini sebenarnya beragama Islam. Yang penting ialah akidah dan takwa. Maka nama2 seperti Ann Wang Seng & Lim Jooi Soon tetap muslim, malah tergolong sebagai tokoh2 dakwah yang hebat masakini di tanahair kita.

    Apatah lagi, jika saya ini berbangsa cina atau india, saya tidak mahu bertukar menjadi bangsa melayu. Salah faham dalam masyarakat di Malaysia ialah Islam itu Melayu & Melayu itu Islam. Hakikat sebenarnya melayu tidak semestinya Islam. Hakikatnya ialah Islam itu bukan mengikut bangsa. Islam itu untuk semua manusia tidak kira bangsa. Lebih teruk lagi apabila dikatakan masuk Islam itu ialah masuk Melayu. Ini adalah mitos yang perlu di perbetulkan.

    Ramai dari kalangan orang arab yang tidak baragama Islam, contohnya Tariq Aziz, bekas menteri luar Iraq. Kalau dari segi tanggapan ramai bila nama arab (atau melayu) begitu tentulah dia ini beragama Islam.

    Ramai pula orang lain yang namanya tidak iras sebutan arab tapi adalah seorang muslim, contohnya beberapa pemain bolasepak antarabangsa seperti Zinedine Zidane dan Nicolas Anelka.

    ReplyDelete
  9. Salam,

    bagi saya memeluk Islam bukan jadi melayu..Islam adalah agama yang suci untuk semua manusia di dunia.Tidak timbul isu memeluk Islam mesti tukar nama,terpulang dengan individu yang memeluk Islam mahu menukar atau mengekalkan namanya yang penting kita nasihatkan dia untuk memilih nama yang paling baik sebabnya nama tersebut akan dipangil pada mahsyar nanti dan nama kita juga merupakan doa. Apabila kita dipanggil dengan nama yang baik, contohnya 'Ahmad'-terpuji,maka berapa ramai yang mendoakan kita menjadi yang terpuji?Insya Allah kita akan menjadi seorang yang terpuji..Jangan sesekali libatkan atau kaitkan Islam dengan fahaman bangsa!..Amalan yang baik itulah yang dilihat Oleh Allah.kita diciptakan berlainan bangsa untuk saling kenal mengenali.kekuatan Islam itu terletak pada kepercayaan dan akidah kepada Allah untuk kita mencapai syurga yang dijanjikan.Oleh yang demikian tak usah kita saling bergaduh/menghasut sebab tak ada gunanya.Lihatlah kehidupan akhirat sana,syurga yang dijanjikan, kamukah yang pasti di dalamnya???..

    ReplyDelete
  10. salam.saya juga merupakan salah seorang cina muslim yang still mengekalkan nama asal saya.until now , masih ada lagi kawan2 melayu yang selalu mengatakan yang kita orang cina yang convent ni masuk melayu. kenapa org melayu suka kaitkan agama n melayu ? itu la sebab kebanyakan masyarakat cina tidak dapat terima ahli keluarga mereka masuk islam.kalau la boleh , harap2 kaum melayu boleh betulkan pandangan mereka terhadap agama n melayu ni. jangan selalu cakap masuk melayu.!! saya minta maaf , sekiranya bahasa saya ni terkasar n tersinggung.maaf zahir n batin

    ReplyDelete
  11. Assalamualaikum....yang penting nama anda itu mempunyai maksud yg baik bgtu...ya silakan pakai...... sy rasa nama cina juga punya makna baik.... mmg mana ada nama yg tdk baik jugakan... (sy keturunan cina sebelah ibu)....

    Allah lebih melihat Takwa...ya kdg2 kita lihat juga org2 memakai nama "Muhammad" tp sikap tdk mencerminkan "Terpuji"....Semuanya bermula dr niat hati masing2.... Jadi apapun sy setuju jika saudara baru dikalangan bangsa cina mahu memakai nama cina.... krn yg terpenting pd saya adalah sejauh mana kita mengamalkan perintah Allah swt...

    lagi pun itu sesuatu yg baik juga, melihat bangsa cina berkembang di Malaysia dalam suasana ajaran islam..... bukan suasana Melayu....Tapi biarlah dalam suasana bangsa cina.... ^_^ pasti menarik.....

    ReplyDelete
  12. Nice blog here! Also your site loads up very fast! What web host are you using? Can I get your affiliate link to your host? I wish my website loaded up as fast as yours lol

    ReplyDelete
  13. SALAM,
    Sebelum ini saya belum pernah mendengar nama saudara Lim, namun pada minggu lalu beliau telah dijemput memberikah ceramah di Masjid Nurul Iman Serendah, Rawang, Selangor.
    Beliau telah membuka minda orang-orang Islam khasnya masyarakat Melayu di negara kita.
    Pendekatan dakwah yang berbeza dan Insya'allah ianya merupakan salah satu cara yang boleh meningkatkan lagi kefahaman orang Islam lebih-lebih algi penganut agama-agama lain. Beliau seharusnya diberikan peluang yang lebih luas dan umat Islam seharusnya tidak melepaskan peluang untuk mengikuti ceramah-ceramahnya walau di mana-mana.
    Saya doakan supaya kita mendapat keberkatan dari Nya.

    ReplyDelete
  14. salam.pertama kali saya mendengar tentang Bro Lim ni di dlm radio IKIM. Bg sya, jgn jadikan isu2 kecil ini sbg topik utama. Sya ada mndgr ustaz2 berkata, byk lg isu2 yg lg bsar utk kita tangani,jgn kerana isu kecil kita nak berbalah.inilah antara cnthnya,tentang penukaran nama. Biarlah kaum mereka menggunakan nama mereka. Apa yg penting nilai ketakwaan mereka kpd Allah.kerana kita yg tentu melayu ini,yg lahir dlm keluarga islam, belum tentu lg mati dlm islam..nauzubillah...

    ReplyDelete